Nirdina.hq
Nirdina.hq adalah saya
Nirdina.hq juga pelanggan
Nirdina.hq tahu apa yang terbaik untuk pelanggan. B.I.T (Berniaga) (Istiqomah) (Tawakal)
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS
Al-Quran dan Puasa Pemberi Syafaat
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الصِّيَامُ وَالْقُرْآنُ يَشْفَعَانِ لِلْعَبْدِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ يَقُولُ الصِّيَامُ أَيْ رَبِّ مَنَعْتُهُ الطَّعَامَ وَالشَّهَوَاتِ بِالنَّهَارِ فَشَفِّعْنِي فِيهِ وَيَقُولُ الْقُرْآنُ مَنَعْتُهُ النَّوْمَ بِاللَّيْلِ فَشَفِّعْنِي فِيهِ قَالَ فَيُشَفَّعَانِ
Daripada Abdullah bin Amru RA sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: "Puasa dan al-Quran itu akan memberikan syafaat kepada seorang hamba pada hari kiamat nanti. Puasa akan berkata : "Wahai Rabb ku, saya telah menahannya daripada makan dan nafsu syahwatnya, kerananya perkenanankan aku untuk memberi syafaat kepada nya (kepada orang yang berpuasa)." Dan al-Quran berkata : "Saya telah melarangnya daripada tidur pada malam hari, kerananya perkenankan aku untuk memberi syafaat kepadanya." Baginda bersabda : "Maka syafaat keduanya diperkenankan." (Musnad Ahmad No: 6589) Dar Ihya Turath Arab. Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Puasa dan al-Quran akan menjadi penolong dan pemberi syafaat kepada pencinta dan pengamalnya pada hari Kiamat.
2. Orang yang berpuasa semasa di dunia, puasa akan menolongnya dan memberi syafaat kerana semasa di dunia dahulu, orang yang berpuasa telah menahan diri dari makan dan minum di siang hari serta mengekang nafsunya.
3. Orang yang menyibukkan diri dengan al-Quran (membaca hingga terpaksa menyengkang mata di malam hari), al-Quran akan menjadi syafaat serta penolong di hari kiamat.
4. Di hari kiamat nanti semua manusia akan membawa diri masing-masing kerana tiada siapa lagi pada hari tersebut yang dapat memberikan pertolongan. Namun selain daripada syafaat Nabi SAW ke atas umat baginda, solat, puasa, al-Quran dan amalan-amalan kebaikan lain akan menjadi syafaat yang diterima oleh Allah SWT untuk mereka yang telah menunaikan ibadat tersebut dengan sebaik-baiknya.
5. Kita berada di bulan Rejab, salah satu daripada bulan bulan haram yang mulia serta digalakkan melakukan amal soleh antaranya memperbanyakkan berpuasa sunat isnin, khamis juga puasa hari puteh 13, 14 dan 15 hb bulan Rejab. Memperbanyakkan membaca al-Quran dalam kerangka mendekatkan diri kepada Allah. Moga ia menjadi persiapan untuk beribadat di bulan Ramadan.
Semoga ibadat puasa dan al-Quran memberi syafaat buat kita kelak.
26hb Januari 2024
14hb Rejab 1445H
Utk dapatkan 1 Hari 1 Hadis Pertubuhan Ikram Malaysia Negeri Johor, sila klik link di bawah :
telegram.me/hadisharian_ikram
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS
Doa Yang Banyak Dibaca Rasulullah SAW
عن شهر بن حوشب قال:قُلْتُ لأُمِّ سَلَمَةَ : يَا أُمَّ الْمُؤْمِنِينَ مَا كَانَ أَكْثَرُ دُعَاءِ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا كَانَ عِنْدَكِ قَالَتْ : كَانَ أَكْثَرُ دُعَائِهِ : يَا مُقَلِّبَ القُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ قَالَتْ : فَقُلْتُ : يَا رَسُولَ اللهِ مَا لأَكْثَرِ دُعَائِكَ يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ قَالَ : يَا أُمَّ سَلَمَةَ إِنَّهُ لَيْسَ آدَمِيٌّ إِلاَّ وَقَلْبُهُ بَيْنَ أُصْبُعَيْنِ مِنْ أَصَابِعِ اللهِ فَمَنْ شَاءَ أَقَامَ وَمَنْ شَاءَ أَزَاغَ.
Daripada Syahr bin Hausyab, katanya: Aku pernah bertanya kepada Ummu Salamah: “Wahai Ummul Mukminin! Apakah doa Rasulullah SAW yang paling banyak apabila Baginda SAW disisi engkau?" Beliau menjawab: “Doa Baginda SAW yang paling banyak adalah: (يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ) - “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku di atas agama-Mu.” - Ummu Salamah berkata: "Aku pernah berkata kepada Rasulullah SAW; Wahai Rasulullah! Betapa sering engkau berdoa: “يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ”. Lalu Baginda SAW menjawab: "Wahai Ummu Salamah! Sesungguhnya tidak ada seorang anak Adam pun melainkan hatinya berada di dalam genggaman kekuasaan Allah. Barangsiapa yang Allah kehendaki, maka Dia akan meluruskannya dan barangsiapa yang Allah kehendaki maka Dia akan membelokkannya." (HR Tirmizi No: 3522) Status: Hadis Hasan
Pengajaran:
1. Sebagai Muslim kita perlu memperbanyakkan doa kepada Allah kerana doa umpama tali yang menghubungkan antara hamba dengan Pencipta.
2. Antara doa yang sering dan banyak diucapkan oleh Rasulullah SAW adalah permohonan agar ditetapkan hati:
يَا مُقَلِّبَ القُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ
Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku di atas agama-Mu
3. Dikhususkan doa untuk tetap hati kerana jika hati itu baik, maka seluruh anggota badan yang lain akan ikut menjadi baik.
4. Sesungguhnya tidak ada seorang anak Adam pun melainkan hatinya berada di dalam genggaman kekuasaan Allah. Barangsiapa yang Allah kehendaki, maka Dia akan meluruskannya dan barangsiapa yang Allah kehendaki maka Dia akan membelokkannya.
5. Setiap kita memiliki hati yang bila-bila masa boleh berubah (berbolak balik).
6. Rasulullah mengajar doa agar kita memiliki hati yang tetap dan istiqamah
JOM banyakkan doa agar memiliki hati yang tetap dan istiqamah diatas jalan Islam.
19hb Januari 2024
07hb Rejab 1445H
Utk dapatkan 1 Hari 1 Hadis Pertubuhan Ikram Malaysia Negeri Johor, sila klik link di bawah :
telegram.me/hadisharian_ikram
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS
Simpanan Tetap Seorang Muslim
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ مِمَّا يَلْحَقُ الْمُؤْمِنَ مِنْ عَمَلِهِ وَحَسَنَاتِهِ بَعْدَ مَوْتِهِ عِلْمًا عَلَّمَهُ وَنَشَرَهُ وَوَلَدًا صَالِحًا تَرَكَهُ وَمُصْحَفًا وَرَّثَهُ أَوْ مَسْجِدًا بَنَاهُ أَوْ بَيْتًا لِابْنِ السَّبِيلِ بَنَاهُ أَوْ نَهْرًا أَجْرَاهُ أَوْ صَدَقَةً أَخْرَجَهَا مِنْ مَالِهِ فِي صِحَّتِهِ وَحَيَاتِهِ يَلْحَقُهُ مِنْ بَعْدِ مَوْتِهِ
Daripada Abu Hurairah RA ia berkata; Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya antara perkara yang akan mengikut orang-orang mukmin dari segi amalan dan kebajikannya sesudah mati antaranya Ilmu (berguna) yang diajar dan disebarkan, atau anak yang soleh yang ditinggalkan (memohon istighfar dan berdoa untuknya), atau al-Quran yang diwariskan, atau masjid yang ia bina, atau rumah yang ia bina untuk ibnu sabil, atau sungai yang ia alirkan (untuk orang lain), atau sedekah yang ia keluarkan dari harta miliknya pada masa ia sihat dan masa hidupnya, semuanya akan mengiringinya setelah kematiannya" (HR Ibnu Majah No: 238) Status: Hadis Hasan.
Pengajaran:
Amalan seorang Mukmin akan berterusan ganjaran pahalanya walaupun pemiliknya telah meninggal dunia antaranya:
1. Ilmu berguna dan bermanfaat yang diajar dan disebarkan kepada orang lain: melalui lisan seperti ceramah juga tulisan dalam bentuk buku, artikel, jurnal, termasuk dalam bentuk e-book, dalam FB, Laman Sesawang mahupun telegram dan whatsapp.
2. Anak soleh yang mendoakan dan memohon keampunan untuknya
3. Al-Quran yang diwariskan berbentuk mushaf atau yang diajar
4. Masjid yang dibina
5. Rumah tumpangan yang dibangunkan untuk musafir yang terputus bekalan
6. Sungai yang dibina untuk manfaat manusia dan makhluk lain
7. Sedekah yang kita lakukan ke atas harta semasa kita sihat dan semasa hidup sama ada dalam bentuk wakaf, derma, mahupun sedekah.
Marilah kita berusaha melakukan amal soleh antaranya ilmu berguna yang diajar dan disebarkan - agar ia menjadi simpanan tetap yang faedah keuntungannya akan berterusan walaupun kita telah meninggal dunia.
12hb Januari 2024
30hb Jamadil Akhir 1445H
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS
Belajar Kerana Habuan Dunia
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ تَعَلَّمَ عِلْمًا مِمَّا يُبْتَغَى بِهِ وَجْهُ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ لَا يَتَعَلَّمُهُ إِلَّا لِيُصِيبَ بِهِ عَرَضًا مِنْ الدُّنْيَا لَمْ يَجِدْ عَرْفَ الْجَنَّةِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ يَعْنِي رِيحَهَا
Daripada Abu Hurairah RA ia berkata, "Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa mempelajari suatu ilmu yang seharusnya kerana Allah Azza Wa Jalla, namun ia tidak mempelajarinya kecuali untuk mendapatkan habuan dari dunia, maka dia tidak akan mendapat bau Syurga pada Hari Kiamat." (HR Abu Daud No: 3179) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Belajar merupakan suatu tuntutan setiap Muslim
2. Mempelajari ilmu mesti bermatlamat mencari keredaan Allah
3. Orang yang belajar semata-mata untuk tujuan dunia seperti hanya untuk keperluan pangkat dan kedudukan, dia tidak akan memasuki Syurga.
Ikhlaskan niat belajar untuk mencari keredaan Allah.
07hb Januari 2024
25hb Jamadil Akhir 1445H
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS
Mencela Ibu bapa
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ الْكَبَائِرِ أَنْ يَشْتُمَ الرَّجُلُ وَالِدَيْهِ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَهَلْ يَشْتُمُ الرَّجُلُ وَالِدَيْهِ قَالَ نَعَمْ يَسُبُّ أَبَا الرَّجُلِ فَيَشْتُمُ أَبَاهُ وَيَشْتُمُ أُمَّهُ فَيَسُبُّ أُمَّهُ
Daripada Abdullah bin Amr RA ia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Termasuk Al-Kaba`ir (dosa-dosa besar), yakni bila seseorang mencela kedua orang tuanya." Para sahabat bertanya, "Wahai Rasulullah, mungkinkah seseorang mencela kedua orang tuanya?" baginda menjawab: "Ya, bila ia mencaci bapa seseorang, maka orang itu pun akan mencaci bapanya. Dan bila ia mencaci ibu seseorang, lalu orang itu pun akan mencaci ibunya." (HR Tirmizi No: 1824) Status: Hasan Sahih.
Pengajaran:
1. Termasuk dosa besar apabila seseorang mencaci atau mencela kedua ibu bapanya.
2. Apabila seseorang mencaci atau memaki ibu atau bapa orang lain, ia bermakna turut mencaci dan memaki ibu atau bapanya sendiri.
3. Menghormati dan berbuat baik kepada ibu bapa orang lain bermakna kita menghormati dan mengasihi ibu bapa kita.
4. Berbuat baik, berlemah lembut dan hormatilah ibu bapa kita dan ibu bapa orang lain. Frman Allah SWT:
وَاخْفِضْ لَهُمَا جَنَاحَ الذُّلِّ مِنَ الرَّحْمَةِ وَقُل رَّبِّ ارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيرًا
“Dan hendaklah kamu merendahkan diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): “Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.” (al-Isra’:24)
29hb Dis. 2023
16hb Jamadil Akhir 1445H
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS
Sebaik-baik Bakti Kepada Kedua Ibu bapa
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ أَنَّ رَجُلًا مِنْ الْأَعْرَابِ لَقِيَهُ بِطَرِيقِ مَكَّةَ فَسَلَّمَ عَلَيْهِ عَبْدُ اللَّهِ وَحَمَلَهُ عَلَى حِمَارٍ كَانَ يَرْكَبُهُ وَأَعْطَاهُ عِمَامَةً كَانَتْ عَلَى رَأْسِهِ فَقَالَ ابْنُ دِينَارٍ فَقُلْنَا لَهُ أَصْلَحَكَ اللَّهُ إِنَّهُمْ الْأَعْرَابُ وَإِنَّهُمْ يَرْضَوْنَ بِالْيَسِيرِ فَقَالَ عَبْدُ اللَّهِ إِنَّ أَبَا هَذَا كَانَ وُدًّا لِعُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ وَإِنِّي سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِنَّ أَبَرَّ الْبِرِّ صِلَةُ الْوَلَدِ أَهْلَ وُدِّ أَبِيهِ
Daripada Abdullah bin Umar RA dia berkata; "Seorang laki-laki desa bertemu dengannya di salah satu jalan di kota Mekah. Lalu Abdullah memberi salam kepadanya dan menaikkannya ke atas keldai yang dinaikinya, dan diberinya serban yang sedang dipakainya di kepala." Kata Ibnu Dinar; "Maka kami berkata kepada Abdullah bin Umar; 'semoga Allah membalas kebaikan anda. Sesungguhnya orang desa itu lebih s**a yang sederhana." Jawab Abdullah; "Bapa orang ini adalah sahabat baik Umar bin Khathab. Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya sebaik-baik bentuk berbakti (berbuat baik) adalah seseorang menyambung hubungan dengan keluarga dari kenalan baik ayahnya (HR Muslim No: 4629) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Berbuat baik kepada kedua ibu bapa perlu berterusan, walaupun selepas keduanya meninggal dunia.
2. Selain daripada mendoakan kebaikan serta keampunan untuk kedua ibu bapa, seorang anak juga disuruh menyambung hubungan dengan keluarga dan sahabat ibu bapa.
3. Berbuat baik dengan sahabat baik ibu bapa juga adalah antara cara berbakti kepada ibu bapa yang telah meninggal dunia.
Semoga kita sentiasa berbakti kepada ibu bapa walaupun mereka telah meninggal dunia dengan cara menghubungkan silaturahim keluarga dan menyambung hubungan sahabat handai ibu bapa.
24hb Dis. 2023
11hb Jamadil Akhir 1445H
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS
Tiga Amalan Penerus Ganjaran Pahala
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا مَاتَ الْإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلَّا مِنْ ثَلَاثَةٍ إِلَّا مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Apabila salah seorang manusia meninggal dunia, maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara; sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat baginya dan anak soleh yang mendoakannya." (HR Muslim No: 3084) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Setiap keturunan anak Adam bergantung dengan amal yang mereka lakukan semasa hidup.
2. Ada amalan yang dilakukan semasa hidup akan berterusan mengalir pahalanya walaupun dia telah meninggal dunia antaranya:
a. Sedekah jariah berbentuk harta seperti wakaf, derma yang disumbang semasa hidup yang manfaatnya diguna oleh orang lain termasuk haiwan.
b. Ilmu bermanfaat yang diajarkan kepada orang lain dan dimanafaatkannya untuk kemaslahatan hidup termasuk hasil ciptaan daripada ilmu yang dipelajari. Ilmu juga termasuk sesuatu yang dihasilkan berbentuk buku, artikel, video juga sebarang penulisan yang baik dan bermanfaat dalam bentuk elektronik seperti laman web, FB, tiktok, telegram, whatsapp dan lain-lain..
c. Anak soleh yang melakukan amal-amal soleh serta yang mendoakan keampunan untuk kedua ibu bapanya.
Lakukanlah sesuatu yang baik dan bermanfaat semasa kita hidup, agar ia menjadi penerus amal dan pemberi ganjaran pahala berterusan walaupun kita telah meninggal dunia.
23hb Dis. 2023
10hb Jamadil Akhir 1445H
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS
Amalan Anak Soleh
عَنْ عَائِشَةَ أَنَّ رَجُلًا قَالَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ أُمِّيَ افْتُلِتَتْ نَفْسُهَا وَإِنِّي أَظُنُّهَا لَوْ تَكَلَّمَتْ تَصَدَّقَتْ فَلِي أَجْرٌ أَنْ أَتَصَدَّقَ عَنْهَا قَالَ نَعَمْ
Daripada 'Aisyah RA, bahawa seorang laki-laki bertanya kepada Nabi SAW, katanya, "Sesungguhnya ibuku telah meninggal dunia, dan saya kira jika dia dapat berbicara dia akan bersedekah, apakah saya juga akan mendapatkan pahala jika saya bersedekah atas namanya?" baginda menjawab: "Ya." (HR Muslim No: 3082) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Anak yang soleh akan sentiasa berbakti untuk kedua ibu bapanya.
2. Anak yang soleh masih boleh berbakti kepada kedua ibu bapanya yang telah meninggal dunia.
3. Pahala amal soleh yang dilakukan oleh sianak akan turut diperolehi oleh kedua ibu bapa antaranya sedekah yang diniatkan untuk kedua ibu bapanya yang beriman.
Semoga amal baik yang dilakukan oleh anak yang soleh turut menyumbang ganjaran amal baik untuk kedua ibu bapanya yang telah meninggal dunia.
22hb Dis. 2023
09hb Jamadil Akhir 1445H
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS
Setiap Pemimpin Akan Dipertanggungjawabkan
عَنْ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ كُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ وَالْأَمِيرُ رَاعٍ وَالرَّجُلُ رَاعٍ عَلَى أَهْلِ بَيْتِهِ وَالْمَرْأَةُ رَاعِيَةٌ عَلَى بَيْتِ زَوْجِهَا وَوَلَدِهِ فَكُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ
Daripada Ibnu Umar RA, dari Nabi SAW bersabda: "Setiap kita adalah pemimpin. Setiap kita akan diminta bertanggungjawab terhadap yang dipimpinnya. Seorang ketua adalah pemimpin. Seorang suami juga pemimpin atas keluarganya. Seorang wanita juga pemimpin atas rumah suaminya dan anak-anaknya. Maka setiap kalian adalah pemimpin dan setiap kalian akan dipertanggungjawabkan atas yang dipimpinnya." (HR Bukhari No: 4801) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Setiap kita adalah pemimpin dan akan dipertanggungjawabkan setiap yang berada di bawah kepimpinan kita
2. Seorang ketua sama ada sebagai pemimpin Negara, negeri, daerah, organisasi, jabatan, unit termasuk keluarga, besar atau kecil tetap akan dipertanggungjawabkan kepimpinan dibawahnya..
3. Sebagai suami akan ditanya kepimpinannya terhadap isteri, anak-anak serta yang berada di bawah tanggungjawabnya.
4. Sebagai isteri ada tanggungjawab dalam rumahtangga, sama ada terhadap suami mahupun anak-anak.
Dalam membina keluarga bahagia, suami dan isteri sewajarnya saling bekerjasama berperanan memimpin dan mencorakkan rumahtangga.
Laksanakanlah amanah tanggungjawab yang ada dengan sebaik mungkin kerana ianya akan dipertanggungjawabkan.
15hb Dis. 2023
02hb Jamadil Akhir 1445H
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS
Mukmin Yang Dikagumi
عَنْ صُهَيْبٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَجَبًا لِأَمْرِ الْمُؤْمِنِ إِنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ خَيْرٌ وَلَيْسَ ذَاكَ لِأَحَدٍ إِلَّا لِلْمُؤْمِنِ إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ صَبَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ
Daripada Shuhaib berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Sungguh mengagumkan urusan orang mukmin, sesungguhnya semua urusannya baik baginya, yang demikian itu tidaklah dimiliki seorang pun kecuali hanya orang yang beriman. Jika mendapat kebaikan (kemudian) ia bersyukur, maka itu merupakan kebaikan baginya, dan jika keburukan menimpanya (kemudian) ia bersabar, maka itu merupakan kebaikan baginya.” (HR Muslim No: 5318) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Mukmin yang dikagumi ialah yang sentiasa redha setiap yang berlaku keatas dirinya.
2. Mukmin yang dikagumi ialah yang sentiasa bersyukur diatas setiap kebaikan atau nikmat yang diperolehi. Syukur itu diperlihatkan pada lima perkara:
a. Tunduk dan merendah kepada Allah, zat yang disyukuri
b. Cinta kepada Allah
c. Mengakui bahawa nikmat itu adalah pemberian Allah
d. Memuji Allah dengan lisan dan perbuatan atas limpahan nikmat tersebut
e. Tidak memanfaatkannya dalam perkara yang dibenci Allah.
3. Mukmin yang dikagumi itu ialah apabila mendapat keburukan atau musibah, dia bersabar dan redha.
4. Ibnu Qayyim menyatakan: sabar merupakan setengah dari keimanan dan setengahnya lagi adalah syukur.
Berusahalah menjadi mukmin yang dikagumi.
10hb Dis. 2023
26hb Jamadil Awal 1445H
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS
Sakit Penghapus Dosa
عَنْ الْحَارِثِ بْنِ سُوَيْدٍ قَالَ : قَالَ عَبْدُ اللَّهِ بْنُ مَسْعُودٍ قَالَ : رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : " مَا مِنْ مُسْلِمٍ يُصِيبُهُ أَذًى مَرَضٌ فَمَا سِوَاهُ إِلَّا حَطَّ اللَّهُ لَهُ سَيِّئَاتِهِ كَمَا تَحُطُّ الشَّجَرَةُ وَرَقَهَا " .
Daripada al-Harith bin Suiyed beliau berkata, telah berkata Abdullah bin Masud bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: “Tidaklah seorang muslim tertimpa suatu penyakit dan sejenisnya, melainkan Allah akan mengugurkan bersamanya dosa-dosanya seperti pohon yang menggugurkan daun-daunnya.” (HR Bukhari No: 5255) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Sihat dan sakit adalah anugerah Allah kepada makhluk.
2. Rasa sakit adalah suatu anugerah yang harus disyukuri kerana Allah memberikan rasa sakit sebagai tanda kasih sayang Allah terhadap mahluknya. Apabila sakit, kita akan segera menyedari kelemahan kita sebagai hamba. Kita akan segera mengingati Allah dan berdoa agar diberi kesembuhan.
3. Bagi manusia yang berpikir tentunya, rasa sakit adalah sebagai ujian dari Allah untuk menghilangkan dosa seseorang malah juga untuk meningkatkan darajatnya di sisi Allah.
4. Orang yang bersabar dan redha di atas penyakit yang menimpanya, nescaya Allah akan menggugurkan bersamanya dosa-dosanya seperti pokok yang mengugurkan daun-daunnya yang kering.
09hb Dis. 2023
25hb Jamadil Awal 1445H
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS
Ujian Penghapus Dosa
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا يَزَالُ الْبَلَاءُ بِالْمُؤْمِنِ وَالْمُؤْمِنَةِ فِي نَفْسِهِ وَوَلَدِهِ وَمَالِهِ حَتَّى يَلْقَى اللَّهَ وَمَا عَلَيْهِ خَطِيئَةٌ
Daripada Abu Hurairah RA berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Ujian (bala) akan sentiasa menimpa orang mukmin sama ada lelaki mahupun perempuan, pada dirinya, anak dan hartanya hingga ia bertemu Allah dengan tidak membawa satu kesalahan (dosa) pun atasnya.” (HR Tirmizi No: 2323) Hadis Hasan Sahih.
Pengajaran:
1. Setiap ujian (bala) atau musibah yang dihadapi oleh orang mukmin sama ada pada dirinya, harta serta ahli keluarganya adalah sebagai pengampun dosa-dosanya.
2. Al-Baghawi menyatakan: Tidak ada satupun musibah yang menimpa seorang hamba, demikian p**a musibah yang lebih besar (dan luas) darinya, kecuali kerana sebab dosa yang Allah mengampuninya hanya dengan (cara menimpakan) musibah tersebut (kepadanya) atau Allah hendak mengangkat darjatnya (kepada suatu darjat kemuliaan) hanya dengan (cara menimpakan) musibah tersebut (kepadanya)” (Tafsir Al-Baghawi: 4/85)
3. Ada Muslim di hari akhirat nanti diampunkan semua dosanya ketika bertemu Allah kerana kesabaran dan ketabahan menghadapi ujian berbentuk musibah semasa di dunia.
4. Antara tujuan utama Allah SWT menimpakan ujian kepada hamba-Nya adalah untuk mengetahui siapakah di antara mereka yang baik amalannya. Firman Allah SWT:
الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلً
“Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya.” Al-Mulk: 2
Moga kita bersabar dengan setiap ujian yang dilalui agar ia menjadi penghapus dosa-dosa kita.
08hb Dis. 2023
24hb Jamadil Awal 1445H
Click here to claim your Sponsored Listing.
Category
Telephone
Website
Address
Johor Bahru
81300
