MOSAR Homeopathy & Therapy
Contact information, map and directions, contact form, opening hours, services, ratings, photos, videos and announcements from MOSAR Homeopathy & Therapy, Health/Beauty, Wangsa Maju.
26/12/2020
APAKAH PENYEBAB RESDUNG (ALLERGIC RHINITIS)?
Rhinitis atau selsema adalah radang pada hidung. Ia adalah keadaan di mana seseorang mengalami hidung berair atau berhingus, gatal hidung atau mata, bersin dan rasa hidung tersumbat. Perkara ini berlaku disebabkan sistem imun badan yang terlalu sensitif. Ia berlaku apabila pesakit terdedah kepada sesuatu perkara yang menyebabkan dia alahan, maka pesakit akan menghasilkan simptom yang berlebihan. Dalam resdung, lapisan yang menyelaputi bahagian dalam hidung sangat sensitif terhadap habuk mahupun debunga.
Resdung boleh dibahagikan kepada 2 kategori iaitu :
1. Bermusim : Gejala bagi resdung jenis ini boleh berlaku pada musim bunga, musim panas dan awal musim gugur. Ia biasanya disebabkan oleh sensitiviti alergi terhadap spora yang terbang di udara atau debunga dari rumput atau pokok yang berbunga.
2. Berpanjangan : Pesakit akan mengalami gejala sepanjang tahun. Ia biasanya disebabkan oleh hama debu, bulu daripada binatang peliharaan, lipas atau kulat. Alergi terhadap makanan jarang menyebabkan gejala yang berkaitan dengan hidung.
Sesetengah orang mungkin mengalami kedua-dua jenis resdung, dengan gejala-gejala bagi resdung bermusim semakin teruk semasa musim debunga yang spesifik. Terdapat juga punca-punca bukan alergi bagi resdung termasuklah asap rokok atau asap lain, minyak wangi, produk pencuci dan bau lain yang kuat.
PUNCA RESDUNG
Beberapa perkara menjadi pencetus ataupun bahan allergen yang akan memulakan simptom resdung. Ianya adalah
1. Debunga
Disebabkan Malaysia bukan negara 4 musim, rakyat Malaysia senang terdedah dengan debunga yang boleh menyebabkan mereka mengalami simptom resdung selalu.
Di negara 4 musim, selalunya simptom resdung menjadi teruk ketika musim bunga kerana banyak daripada pokok akan menghasilkan debunga pada musim tersebut.
2. Kulat
Di dalam keadaan rumah yang lembab, kulat senang tumbuh dan menghasilkan spora. Spora inilah yang akan berterbangan di dalam rumah dan masuk ke dalam saluran pernafasan pesakit dan menyebabkan serangan resdung bermula dari :
1. Habuk
2. Bulu haiwan peliharaan
3. Asap
4. Karpet
TANDA DAN GEJALA
• Bersin
• Hidung berair
• Hidung tersumbat
• Hidung gatal
• Kurang deria bau
• Sakit kepala
• Sakit telinga
• Keluar air mata
• Mata merah
• Mata bengkak
• Rasa letih
• Rasa pening kepala
KOMPLIKASI
Jika selsema ini berlarutan, komplikasi yang mungkin berlaku seperti :
1. Nasal polyps. Terdapat tumbuhan benigna yang lembut terjadi pada lapisan hidung atau sinus disebabkan radangan kronik. Polyps yang kecil tidak menyebabkan masalah tetapi yang besar akan menyekat peredaran udara melalui hidung dan susah untuk bernafas.
2. Resdung/Sinusitis: Hidung tersumbat yang berpanjangan boleh menyebabkan resdung/sinusitis – jangkitan atau radangan pada lapisan membran sinus. Pesakit mengalami sakit bahagian p**i, mata atau dahi, nafas berbau busuk dan lelehan bertukar warna kuning atau hijau. Resdung yang teruk boleh merebak ke bahagian mata dan otak dan boleh membawa maut.
3. Cecair ditelinga tengah. Pesakit akan mengalami masalah kurang pendengaran.
RAWATAN
Rawatan untuk pesakit resdung terbahagi kepada 3 iaitu mengelakkan diri daripada allergen, penggunaan ubat dan juga terapi imun.
1. Mengelakkan diri daripada allergen
Beberapa perkara yang boleh dibuat di dalam rumah seperti :
a) Elakkan menggunakan perabut yang akan berhabuk seperti karpet
b) Selalu membersihkan habuk
c) Elakkan daripada membela haiwan peliharaan
d) Sarung tilam perlu selalu ditukar
e) Sentiasa memastikan keadaan di dalam rumah kering agar kulat tidak tumbuh
f) Pesakit juga boleh mengelakkan diri daripada mencium bunga kerana debunga akan menyebabkan mereka mempunyai simptom resdung
2. Penggunaan ubat
Beberapa jenis ubat boleh digunakan untuk merawat masalah resdung tersebut. Ianya adalah:
a) Ubat anti-histamine : Ia berfungsi untuk menghentikan proses yang akan menyebabakan simptom alahan. Contoh ubat adalah Chlorpheniramine, cetrizine dan loratadine
b) Ubat untuk mengurangkan hidung berair: Ia berfungsi untuk mengecilkan saluran darah di bahagian hidung supaya penghasilan air hidung dapat dikurangkan. Contoh ubat adalah pseudoephedrine
c) Ubat spray hidung yang berasaskan steroid: Ia berfungsi untuk mengurangkan keradangan di bahagian hidung. Kajian telah dibuat menunjukkan penggunaan spray hidung ini adalah lebih berkesan daripada penggunaan anti-histamine dan juga ubat yang mengurangkan hidung berair. Ia bertanggungjawab mengurang 4 simptom resdung yang utama iaitu bersih, gatal hidung, hidung berair dan juga hidung tersumbat. Oleh itu, simptom resdung akan lebih terkawal dan aktiviti harian pesakit akan lebih tidak terganggu
3. Terapi Imun
Di dalam terapi ini, ubat akan diberikan sama ada melalui suntikan ataupun diletakkan dibawah lidah untuk mengurangkan sensitiviti sistem imun badan terhadap allergen.
Peratusan untuk sembuh dengan menggunakan terapi imun ini boleh dikatakan tinggi tetapi selalunya ia digunakan hanya untuk pesakit yang mempunyai simptom resdung yang teruk dan kerap walaupun sudah menggunakan ubat.
25/10/2020
APAKAH PUNCA-PUNCA SEMBELIT?
Banyak punca sembelit. Ada kalanya apa yang kita buat sebelum ini tidak pun menyebabkan sembelit, tapi kali ini ia menyebabkan sembelit. Jadi sembelitnya kadang kala bukan disebabkan oleh satu faktor saja, tetapi banyak faktor. Ada kalanya orang lain buat, mereka ok saja. Tapi kita buat boleh menyebabkan sembelit p**a. Jadi bergantung pada individu.
1. Antaranya ialah mereka yang ambil ubat gastrik yang mengandungi kalsium atau aluminium. Ubat ini selalu disebut sebagai antacid, sama ada dalam bentuk cecair atau dalam bentuk pil.
2. Ubat-ubat penahan sakit seperti tramadol dan ubat untuk kemurungan boleh menyebabkan sembelit juga.
3. Orang yang kerap mengambil ubat pelawas untuk buang air besar juga boleh mengalami masalah ini. Penggunaan ubat ini untuk jangka panjang akan melemahkan otot-otot usus untuk melakukan pergerakan peristalsis. Pesakit yang mengalami luka pada dubur (fissure in a**s) yang cuba mengelakkan diri dari membuang air besar (kerana berasa sakit ketika membuang air besar), juga boleh mengalami sembelit.
4. Pesakit anemia (kekurangan sel darah merah) yang mengamalkan pil zat besi (iron), juga boleh mengalami sembelit. Pesakit yang mengambil ubat tahan sakit seperti tramadol atau morphine juga mengalami masalah sembelit.
5. Wanita yang hamil juga mengalami masalah sembelit terutama di akhir kehamilan. Ini kerana saiz rahim semakin membesar. Mereka yang mengalami tekanan emosi juga mungkin mengalami masalah ini.
6. Susu juga boleh menyebabkan sembelit bagi sesetengah orang. Penggunaan ubat julap atau ubat laxative yang merangsang buang air besar bertujuan untuk detoks.
7. Selain itu ialah perubahan diet, terutama diet yang tidak cukup sayur. Mereka yang tidak cukup minum air, tidak banyak melakukan pergerakan fizikal, terutama mereka yang sakit terlantar di katil. Ini menyebabkan sembelit.
Namun ada kalanya sembelit adalah tanda penyakit yang bahaya. Ada pesakit yang mengalami penyakit ini tanpa menyedarinya. Antaranya penyakit yang berkaitan dengan saraf di otak seperti Parkinson's atau Multiple Sclerosis. Atau penyakit saraf pada otot-otot usus besar yang mengganggu pergerakan peristalsis otot di situ. Sebagai contoh, pesakit diabetes yang tidak mengawal gula dalam darah dengan baik, saraf-sarafnya akan mengalami kerosakan. Masalah hormone thyroid yang rendah atau hypothyroidism juga boleh menyebabkan sembelit yang berulang.
Lebih berbahaya, sembelit mungkin tanda awal penyakit kanser usus (re**um cancer atau colon cancer), terutama jika najis yang keluar itu bercampur darah.
31/08/2020
ALAHAN UBAT
Alahan ubat secara ringkasnya ditakrifkan sebagai tindak balas alahan yang disebabkan oleh tindakbalas ubat yang tidak normal. Tindak balas ubat ini terhasil disebabkan oleh tindak balas hipersensitiviti yang mana telah mendorong tindakbalas imunisasi diarahkan pada ubat.
Tindak balas hipersensitiviti boleh diklasifikasikan dengan pelbagai jenis gejala yang dipanggil gejala alahan. Gejala alahan boleh menyebabkan gejala dalam hidung, paru-paru, tekak, sinus, telinga, perut atau pada kulit tidak kira sama ada tindak balas alahan berlaku serta-merta atau lambat, atau gabungan kedua-duanya.
Tindak balas terhadap ubat adalah berbeza bagi setiap individu. Seseorang yang mengambil ubat tertentu boleh mengalami ruam, manakala individu lain yang mengambil ubat yang sama mungkin tidak mengalami apa-apa kesan buruk. Semua ubat-ubatan mempunyai potensi untuk menyebabkan kesan sampingan, tetapi hanya 5% hingga 10% daripada kesan sampingan ubat adalah alahan.
Tindak balas alahan terdiri daripada ruam biasa hingga kepada tindakbalas sistemik yang boleh mengancam nyawa. Oleh itu, adalah sangat penting untuk mengenal pasti tanda-tanda dan gejala alahan.
Kebanyakan tindak balas alahan tidak berlaku setelah ubat diambil buat pertama kali. Sebaliknya, pengambilan ubat yang kedua dan seterusnya yang akan mendorong tindak balas imunisasi. Contoh tindak balas alahan yang boleh berlaku adalah seperti berikut:
1. Anafilaksis
2. Tindak balas kulit contohnya ruam, gatal-gatal, sensitif terhadap cahaya (photoallergy) dan tanda kemerahan.
3. Kesukaran bernafas
4. Pitam
5. Degupan jantung tidak sekata (Arrhythmia)
6. Pembengkakan di bawah kulit (Angioedema)
7. Sakit sendi dan otot
8. Angioedema
9. Urticaria
UBAT-UBATAN YANG KERAP DIKAITKAN DENGAN ALAHAN
Orang ramai boleh mengalami alahan kepada mana-mana ubat, akan tetapi terdapat sebahagian ubat yang lebih kerap menyebabkan alahan berbanding ubat-ubatan lain. Antibiotik merupakan punca alahan yang paling kerap dikaitkan dengan alahan ubat. Berikut adalah senarai ubat-ubatan yang paling kerap dikaitkan dengan alahan (atau bukan alahan dalam beberapa kes):
1. Penicillin (dan semua antibiotik yang berkaitan). Kira-kira 1 dalam 10 orang melaporkan bahawa mereka mempunyai sejarah “alahan” kepada penicillin. Namun demikian, kurang daripada 10% individu yang berfikir bahawa mereka alah kepada penicillin. alah kepada ubat tersebut. Walau bagaimanapun, orang yang benar-benar alah kepada penicillin terdedah kepada gejala anafilaksis yang boleh mengancam nyawa. Oleh itu, amat penting untuk memberitahu doktor anda tentang tindakbalas alahan ubat masa lalu anda.
2. Cephalosporins (dan semua antibiotik yang berkaitan). Tindak balas cephalosporins hampir menyamai tindakbalas penicillin. Walau bagaimanapun, terdapat kemungkinan bahawa seseorang yang alah kepada penicillin boleh mendapat tindak balas alahan kepada cephalosporins kerana kedua-dua ubat tersebut mempunyai kaitan yang sama.
3. Sulfonamides (termasuk antibiotik, ubat oral diabetik dan beberapa ubat diuretik). Tindak balas ubat ini tidak jelas sama ada disebabkan oleh alahan atau proses immunologi lain. Tiada ujian yang tepat untuk menentukan jika seseorang itu alah kepada ubat-ubatan dalam kelas ini.
4. Non-Steroidal Anti-Inflammatory Drugs (NSAID), termasuk aspirin, ibuprofen dan naproxen. Kelas ubat-ubatan ini boleh menyebabkan alahan dan bukan alahan seperti gatal-gatal/bengkak, memburukkan lagi asma dan menyebabkan anafilaksis. Tiada ujian yang tepat untuk menentukan jika seseorang itu alah kepada kelas ubat-ubatan ini.
5. Ubat Bius Setempat (Local Anesthetics). Tindak balas alahan kepada ubat bius setempat (novocaine, lidocaine) jarang berlaku, dan biasanya disebabkan oleh bahan-bahan lain di dalam ubat, seperti pengawet atau adrenaline (terdapat dalam local anesthetics untuk membuat ubat tahan lebih lama apabila disuntik).
6. Anestesia Am (General Anesthesia). Sesetengah ubat-ubatan yang digunakan semasa pembedahan kerap kali menyebabkan tindak balas alahan dan anafilaksis.
PENCEGAHAN
Tiada cara yang diketahui untuk mengelakkan alahan ubat. Anda boleh mengurangkan risiko dengan meminimumkan pengambilan ubat selagi boleh. Semakin banyak badan terdedah dengan ubatan, semakin mudah untuk mendapat alahan ubatan. Jangan mengambil ubat yang ada tindak balas kepada anda sebelum ini. Sekiranya anda sudah terdedah dengan tindak balas kali pertama, risiko untuk mendapat tindakbalas yang lebih teruk akan lebih meningkat.
Anda juga perlu sentiasa memberitahu anggota kesihatan yang anda temui untuk rawatan mengenai alahan anda dan jenis tindakbalas yang anda hidapi. Beritahu anggota kesihatan yang merawat anda tentang sebarang ubat, preskripsi atau tanpa preskripsi yang anda telah ambil.
17/08/2020
BAGAIMANA TEKANAN DARAH RENDAH BOLEH BERLAKU?
Tekanan darah rendah berlaku apabila bacaan tekanan darah di bawah 90/60 (bacaan ideal ialah 120/90). Jika tidak melibatkan sebarang simptom, ia bukanlah satu keadaan kesihatan yang serius. Namun, ia juga mungkin membawa kepada simptom yang serius sehingga boleh mengancam nyawa.
Apa yang berlaku jika tekanan darah menjadi rendah?
Tekanan darah berperanan memastikan darah beredar di dalam salur darah daripada jantung kepada seluruh sel dalam badan. Tekanan yang rendah boleh menjejaskan pergerakan darah sehingga menyebabkan darah tidak sampai ke bahagian badan tertentu.
Otak adalah bahagian paling penting dan sangat mudah terjejas dengan perubahan pada tekanan darah. Ini adalah kerana jantung perlu mengepam darah melawan graviti untuk sampai ke otak. Apabila otak tidak mendapat darah dan oksigen yang mencukupi, banyak fungsi badan akan terjejas.
Antara simptom yang boleh berlaku ialah:
1. Pening dan kepala terasa ringan
2. Pengsan
3. Penglihatan kabur
4. Mual
5. Letih
6. Hilang fokus
Dalam kes yang lebih parah, tekanan darah yang terlalu rendah boleh menyebabkan darah tidak sampai ke banyak organ di seluruh badan sehingga membawa kepada kejutan. Simptom yang berlaku termasuklah:
1. Rasa bingung dan keliru terutamanya mereka yang berumur
2. Kulit sejuk, lembap, dan pucat
3. Pernafasan laju dan pendek
4. Nadi laju dan lemah
Apakah sebab tekanan darah rendah?
Tekanan darah rendah biasa berlaku dalam kalangan orang berumur. Ia adalah sebahagian daripada proses penuaan apabila otot mula menjadi lemah dan kawalan badan terhadap tekanan darah berkurang. Selagi mana tiada simptom yang serius, ia adalah normal. Namun ada juga keadaan lain yang boleh menyebabkan tekanan darah rendah. Ini termasuk:
1. Mengandung - Saluran darah mengembang semasa mengandung menyebabkan tekanan darah berkurang. Ia akan kembali normal sebelum bersalin.
2. Masalah jantung - Sesetengah keadaan jantung seperti degupan jantung perlahan, masalah injap, serangan jantung, dan kegagalan jantung.
3. Masalah endokrin - Hipotiroid, penyakit Addison, hipoglisemia dan sesetengah kes diabetes.
4. Dehidrasi.
5. Pendarahan - Keadaan yang menyebabkan pendarahan banyak seperti pembedahan major dan kemalangan.
6. Jangkitan darah serius (septicemia) - Jangkitan menyebabkan saluran darah mengembang dan menurunkan tekanan darah.
7. Serangan alergi yang teruk (anafilaksis) – Mekanisme anafilaksis hampir sama dengan septicemia.
10/08/2020
SAWAN DEMAM
Sawan adalah keadaan di mana kanak-kanak tidak sedarkan diri dan biasanya diikuti oleh kekejangan atau penyentakan kaki dan tangan. Demam sawan adalah sawan yang berlaku dengan suhu badan yang tinggi di kalangan kanak-kanak berumur 6 bulan hingga 5 tahun.
Sawan demam adalah sawan yang disebabkan oleh demam panas dikalangan bayi atau kanak-kanak kecil yang normal. Diagnosa sawan demam hanya boleh dibuat selepas doktor mendapati tidak ada punca-punca lain yang menyebabkan sawan selain dari suhu badan yang tinggi (biasanya melebihi 38ºC).
TANDA-TANDA DAN GEJALA
1. Anak akan tidak sedar diri atau tidak menunjukkan tindak balas bila dipanggil.
2. Kedua-dua kaki dan tangan kejang atau tersentak-sentak.
3. Mata mungkin terbeliak ke atas.
4. Kadang-kala kekejangan atau sentakan hanya berlaku pada sebahagian anggota badan sahaja, seperti satu tangan atau satu kaki.
5. Sawan biasanya berhenti dengan sendiri selepas 2-3 minit atau kurang, dan jarang melebihi 10 minit. Bagaimanapun dalam kes di mana sawan melebihi 5 minit, kanak-kanak tersebut perlu di bawa ke klinik berdekatan secepat mungkin.
6. Semasa sawan, kanak-kanak mungkin tercedera (akibat jatuh) atau mungkin tercekik makanan/air liur di dalam mulut.
7. Kebanyakan kanak-kanak dengan sawan demam mengalami suhu badan tinggi melebihi 38.5oC.
8. Kanak-kanak dengan sawan demam tidak semestinya mendapat epilepsi (epilepsi atau “sawan babi” adalah kejadian sawan yang berulang-ulang dan tidak dicetuskan oleh demam).
9. Kebanyakan sawan demam berlaku pada hari pertama kanak-kanak demam.
Majoriti besar sawan demam adalah tidak membahayakan. Tidak ada bukti kukuh yang mengatakan bahawa sawan demam boleh menyebabkan kerosakan otak. Kajian perubatan mendapati kanak-kanak yang sawan demam memperolehi pencapaian yang normal di sekolah dan mempunyai tahap kecerdasan yang sama seperti adik-beradik lain yang tidak mengalami masalah sawan demam. Malah dalam kes-kes yang jarang berlaku di mana sawan berlarutan sangat lama melebihi satu jam, didapati kanak-kanak tersebut juga pulih sepenuhnya.
FAKTOR-FAKTOR RISIKO UNTUK SAWAN DEMAM BERULANG
1. Usia muda (kurang daripada 15 bulan) semasa serangan sawan yang pertama.
2. Sawan terjadi sejurus selepas demam bermula atau bila suhu badan adalah normal.
3. Sejarah sawan demam di kalangan ahli keluarga terdekat (ibubapa dan adik-beradik).
4. Sejarah penyakit epilepsi (sawan babi) di kalangan ahli keluarga terdekat.
APAKAH YANG PERLU DILAKUKAN JIKA ANAK MENGALAMI SAWAN?
1. Baringkan anak anda secara mengiring sebelah kiri atau kanan.
2. Jauhkan anak anda dari sebarang benda yang berbahaya atau tajam.
3. Jangan sekali-kali memasukkan sesuatu ke dalam mulut anak anda semasa berlakunya sawan.
4. Jangan menampar, menggoncang atau mengurut badan anak anda untuk menyedarkan dirinya semasa sawan.
5. Catatkan masa dan tempoh berlakunya sawan.
6. Bawa anak anda ke hospital dengan segera, jika sawan berlaku.
7. Anak anda perlu diperiksa oleh doktor selepas berlakunya sawan untuk mengenal pasti sama ada terdapat sebarang jangkitan kuman pada otak.
08/08/2020
PENYAKIT TULANG BERLIANG
Pembentukan semula tulang merangkumi proses sintesis dan penyerapan berulang yang menjadikan struktur tulang lebih matang dan berupaya mengekalkan tahap kalsium normal dalam tubuh ma**sia.
Proses penyerapan tulang berlaku apabila sel dipanggil osteoklas melepaskan kalsium ke dalam aliran darah bagi memenuhi keperluan metabolik badan dan secara semula jadi membentuk tulang seterusnya mengekalkan struktur rangka.
Ketika kanak-kanak, proses pembentukan tulang berjaya mendominasi proses penyerapan seiring dengan proses tumbesaran.
Namun, apabila tulang mencapai tahap matang, proses sintesis dan penyerapan berfungsi hanya bagi menyeimbangkan struktur tulang ma**sia.
Tulang melalui proses penyerapan yang berterusan dan berlangsung sepanjang hidup seseorang ma**sia. Proses ini berfungsi untuk pembentukan semula tulang. Lebih banyak hormon dihasilkan, lebih baik struktur tulang dapat dibina. Apabila hormon berkurangan, ia membuatkan tulang menjadi rapuh.
Osteoporosis bermaksud tulang berliang dan menjadi rapuh. Ia adalah penyakit tulang rapuh yang terjadi apabila tubuh kehilangan banyak j***m tulang atau penghasilan tulang yang sedikit atau kedua-duanya sekali.
Osteoporosis berlaku apabila wujud ketidakseimbangan di antara proses pembentukan tulang baru dan kemerosotan tulang lama. Seterusnya, tulang menjadi lemah dan mudah retak atau patah sekiranya seseorang itu terjatuh atau mengalami hentakan.
Ada dua jenis mineral utama bagi pembentukan struktur tulang normal iaitu kalsium dan fosfat. Jika bekalan kalsium dan fosfat di dalam badan tidak mencukupi, hormon pengawal fungsi badan akan mengambil dua mineral itu daripada tulang supaya badan boleh berfungsi sebaik-baiknya. Bagaimanapun, jika terlalu banyak diambil, tulang akan menjadi lemah.
Oleh kerana tulang adalah tisu hidup, ia sentiasa menjalani proses pembentukan semula tetapi proses itu menjadi dominan pada usia awal 20-an (kemuncak j***m tulang).
Proses pembentukan semula ini penting bagi memastikan tulang sentiasa dalam keadaan kuat dan penyelidik mendapati tulang orang dewasa ‘diganti’ secara semula jadi setiap 10 tahun.
Faktor genetik dan persekitaran mempunyai pengaruh besar kesihatan tulang. Bagaimanapun, faktor persekitaran seperti pemakanan dan aktiviti jasmani memainkan peranan penting dalam pembentukan tulang sihat dan kuat. Ketidakcukupan nutrisi juga melemahkan tulang dan kesannya yang berlaku secara perlahan-lahan biasanya dirasai ketika tua.
Masalah osteoporosis dan keretakan tulang sering menimpa wanita khususnya warga emas. Kecederaan tulang boleh berlaku apabila warga emas terjatuh dari kerusi atau katil, tergelincir atau ketika berdiri.
Jika dibandingkan dengan lelaki yang mengalami masalah tulang rapuh ketika berusia 70 hingga 75 tahun, wanita lebih berisiko apabila mereka mengalami fasa menopaus (penghujung kitaran haid dan kesuburan).
Fasa putus haid membuatkan ovari tidak lagi menghasilkan pengeluaran dua hormon kesuburan utama, estrogen dan progesteron yang juga bertindak melindungi tulang wanita.
Pada masa sama, lelaki dan wanita muda turut berisiko mengalami osteoporosis disebabkan gaya hidup atau gangguan terhadap sistem imunisasi tubuh. Gangguan sistem imuninasi (penyakit autoimun) antara punca orang muda dikategorikan bawah 50 tahun menghidapi penyakit osteoporosis.
Penyakit autoimun apabila sistem imunisasi yang mengawasi dan melawan kehadiran bakteria dan virus, bertindak sebaliknya dengan menyerang tubuh.
Gangguan sistem ini merosakkan tisu dan menjejaskan kekebalan sistem imunisasi untuk melawan kuman yang mendedahkan badan kepada jangkitan.
Antara penyakit dikaitkan dengan gangguan autoimun adalah artritis reumatoid dan lupus eritematosus sistemik (SLE).
Selain itu, gaya hidup tidak sihat dan aktif menjejaskan kekuatan struktur tulang. Ini termasuk tabiat merokok, kurang senaman, latihan sendi serta kurangnya pengambilan nutrisi baik seperti kalsium, vitamin D dan protein.
Masalah kerapuhan tulang boleh berlaku dan dipercepatkan dengan pengambilan produk makanan tambahan dan ubatan tinggi kandungan steroid.
Bagi tujuan pemeriksaan osteoporosis, selalunya akan menggunakan Dual Energy X-ray Absorptiometry (DEXA). Ujian ini membolehkan diagnosis dengan menilai risiko individu mengalami kecederaan akibat osteoporosis. Kebiasaannya, ujian ini dilakukan di bahagian tulang belakang dan pinggul untuk menyukat kehilangan kuantiti tulang
Keputusan ujian ini dikira mengikut skornya, -1 ke atas adalah normal atau sihat, -1 hingga -2.5 dikategorikan osteopenia (ketumpatan mineral tulang kurang daripada normal) dan bawah -2.5 p**a skor bagi pesakit osteoporosis.
Osteoporosis juga penyebab hampir 90 peratus kecederaan atau keretakan tulang pinggul dalam kalangan warga emas. Biasanya keretakan tulang disebabkan terjatuh termasuk di bilik air.
Selain kurangnya keseimbangan badan, insiden terjatuh berlaku atas beberapa faktor termasuk struktur tulang rapuh yang menyukarkan pembentukan semula struktur tulang baru berikutan peningkatan usia.
Ada banyak perkara menyebabkan warga emas mudah terjatuh terutama kurangnya deria sentuh atau reseptor yang sensitif dan masalah katarak. Apabila punca ini bergabung mengakibatkan kecederaan, warga emas mengambil masa lama untuk pulih menjadi seperti biasa.
Justeru, pakar ortopedik dan geriatrik perlu bekerjasama bagi membantu golongan ini. Sebagai langkah pertama, apabila pegawai perubatan menerima pesakit warga emas yang mengalami kecederaan tulang akibat jatuh, aspek geriatrik perlu diambil kira.
Mengenal pasti punca jatuh seperti hilang keseimbangan badan dan kurang nutrisi yang menjadi simptom awal osteoporosis, antara insiatif yang dapat mencegah kunjungan kedua pesakit atau seterusnya.
Mengenai rawatan, pembedahan ialah antara kaedah perubatan yang disarankan tetapi ia bergantung pada keadaan pesakit warga emas yang kebanyakan mereka dikategorikan berisiko tinggi.
Inilah sebabnya penjagaan tulang perlu dimulakan sejak muda dengan pengamalan pemakanan seimbang dan pemakanan sihat selain mengelakkan aktiviti yang boleh menjejaskan kekuatan organ penyokong ini.
11/07/2020
BRAIN ANEURYSM
Dianggarkan satu dalam 50 orang mempunyai "brain aneurysm" dan ramai yang tidak mengetahuinya.
Brain aneurysm adalah keadaan di mana saluran darah dalam otak mempunyai titik lemah, menyebabkan saluran darah pada bahagian ini mengembang seperti belon.
Jika tekanan darah menjadi tinggi (terutama pada pesakit darah tinggi), ia boleh mengembangkan ke saiz yg lebih besar, lalu pecah dan menyebabkan stroke. Dalam banyak kes brain aneurysm yg pecah menyebabkan kematian yang mengejut.
Kebanyakan 'brain aneurysm' tidak terlalu besar, jadi ia tidak pecah, tetapi ia ibarat bom jangka yang boleh meletup pada bila-bila masa.
Ia juga tidak memberikan sebarang tanda atau menyebabkan masalah kesihatan yang lain.
Saya ada seorang pesakit saya yang mempunyai tekanan darah yg tinggi. Bacaan tekanan darah pada ketika itu 200/130. Beliau mengalami rasa sakit kepala, mual dan muntah. Pandangan mata mulai kabur.
Pemeriksaan MRI mengesahkan beliau mengalami brain aneurysm.
Doktor mencadangkan pembedahan, tetapi beliau enggan. Sekarang dengan ubat2an, bacaan tekanan darah beliau hanya turun ke 150/100.
Dinasihatkan agar banyak berehat dan mengurangkan berat badan.
Beliau bertanyakan pendapat saya. Saya menambah, selain itu jaga pemakanan dan uruskan stress dengan baik. Sekarang bacaan BP beliau 140/90.
Saya selalu ingatkan beliau yg beliau adalah penyakit tekanan darah tinggi dan mempunyai brain aneurysm.
Jadi kena selalu beringat.
08/07/2020
ANEMIA DI KALANGAN WARGA EMAS
Anemia adalah satu masalah perubatan dimana seseorang itu tidak mempunyai sel darah merah yang mencukupi. Di kalangan warga emas, ia boleh menjadi satu petanda seseorang pesakit itu menghidapi penyakit kronik.
Anemia di kalangan warga emas disebabkan oleh berbagai-bagai faktor termasuk keturunan, kekurangan vitamin, kekurangan zat besi dan juga penyakit. Penyebab utama anemia dikalangan warga emas adalah penyakit kronik termasuk penyakit inflammasi (radang), kanser dan jangkitan kronik. Selain itu, penyebab yang lain seperti kekurangan nutrisi terutamanya asid folik dan cobalamin (vit B 12) juga boleh menyebabkan anemia.
PUNCA-PUNCA ANEMIA
1. Pemakanan yang tidak sihat – golongan muda atau tua yang mana mengalami kekurangan zat besi dan vitamin terutamanya asid folik, akan mempunyai risiko terjadi anemia. Badan kita memerlukan zat besi/iron, protein dan vitamin untuk mengeluarkan jumlah sel darah merah yang mencukupi.
2. Penyakit usus – penyakit usus terutamanya usus kecil boleh mengganggu penyerapan bahan nutrisi kedalam usus. Contohnya penyakit Crohn’s dan Celiac. Pembedahan pembuangan sebahagian dari usus kecil juga boleh mengganggu penyerapan bahan nutrisi dan mengakibatkan kekurangan vitamin serta terjadi anemia.
3. Penyakit kronik contohnya kanser, kegagalan ginjal dan hati. Selain itu, kehilangan darah secara perlahan-lahan dan kronik akibat ulser perut atau usus boleh menyebabkan anemia.
4. Sejarah keluarga – Ada sejarah anemia disebabkan keturunan seperti talasemia.
5. Faktor-faktor lain – jangkitan kuman, penyakit darah dan penyakit autoimmune, pendedahan kepada bahan kimia yang toksik dan penggunaan ubat-ubatan yang boleh menjejaskan pengeluaran sel darah merah. Selain itu, ada juga golongan yang berisiko mendapat anemia seperti pesakit diabetes mellitus, pengambilan alkohol yang tinggi dan berpanjangan dan orang yang mengamalkan makanan sayur-sayuran (vegetarian) di mana pemakanan mereka kurang zat besi/iron dan vitamin B-12.
TANDA-TANDA ANEMIA
1. Merasa letih dan lemah
2. Pucat dan kadang-kadang kuku jari mudah patah
3. Sakit dada
4. Sakit kepala atau pening
5. Denyutan jantung yang pantas atau tidak normal
6. Sesak nafas
7. Masalah kognitif
8. Kemurungan atau keresahan
KOMPLIKASI
Jika tidak dirawat, anemia akan menyebabkan banyak komplikasi. Contohnya seperti:
1. Keletihan yang teruk- Bila berlaku anemia yang teruk,seseorang itu akan merasa terlalu letih dan tidak bertenaga untuk menjalankan tugas-tugas hariannya.
2. Penyakit jantung- anemia akan menyebabkan denyutan jantung terlalu pantas atau tidak normal yang dipanggil arrhythmia. Ini kerana jantung terpaksa bekerja keras untuk mengepam darah dalam mengatasi kekurangan oksigen dalam darah. Ini akan mengakibatkan kegagalan jantung
3. Kerosakan saraf- kekurangan vitamin B 12 akan menganggu penghasilan sel darah merah dan fungsi saraf.
4. Gangguan fungsi otak/mental- kekurangan vitamin B12 juga boleh menjejaskan fungsi otak seperti memori (daya ingatan).
5. Kematian – anemia yang disebabkan keturunan seperti sickle cell akan mengakibatkan komplikasi yang serius dan boleh membawa kematian. Kehilangan darah yang banyak dan cepat akan menyebabkan anemia yang teruk dan membawa kematian.
RAWATAN
Rawatan anemia bergantung kepada penyebabnya :
1. Anemia kekurangan zat besi (iron): anemia jenis ini dirawat dengan memberi suplimen zat besi yang perlu diambil untuk beberapa bulan atau jangka masa yang panjang. Jika punca anemia ini disebabkan oleh kehilangan darah maka punca pendarahan mesti dikenalpasti dan perlu diberhentikan pendarahan itu.
2. Anemia kekurangan vitamin: Pernicious anemia perlu dirawat dengan suntikan vitamin B12 kemungkinan untuk sepanjang hidup. Anemia disebabkan oleh kekurangan asid folik mesti dirawat dengan memberikan suplimen asid folik.
3. Anemia yang disebabkan oleh penyakit kronik: tiada rawatan yang khusus untuk ini. Ia perlu dirawat mengikut puncanya. Jika tanda-tanda anemia bertambah teruk, tranfusi darah atau suntikan erythropoietin sintetik (hormon yang dihasilkan oleh buah pinggang) boleh digunakan untuk merangsang pengeluaran sel darah merah. Ini akan mengurangkan simptom anemia.
4. Aplastic anemia : rawatan anemia ini adalah dengan transfusi darah untuk meningkatkan sel darah merah. Jika tulang sum-sum tidak sihat, kemungkinan pemindahan sum-sum tulang akan dijalankan.
5. Anemia yang disebabkan oleh penyakit sum-sum tulang : Rawatan merangkumi ubat-ubatan, kemoterapi atau pemindahan sum-sum tulang.
6. Anemia haemolitik: Rawatannya termasuk mengelakkan pengambilan ubat-ubatan yang boleh menyebabkan sel darah merah hancur atau menekan sistem pertahanan badan. Merawat infeksi atau jangkitan (jika ada). Rawatan dengan steroid gamma globulin atau ubat-ubatan yang meningkatkan sistem pertahanan badan.
PENCEGAHAN
Kebanyakan anemia boleh dicegah. Anemia yang disebabkan oleh kekurangan zat besi atau vitamin boleh dielakkan jika kita mengambil makanan yang sihat seperti:
1. Iron (zat besi) : makanan yang kaya zat besi adalah daging, kekacang, bijirin, sayur-sayuran berdaun hijau, buah-buahan kering dan peanut butter.
2. Folate : boleh di dapati dalam jus limau dan buah-buahan, pisang, sayur-sayuran berwarna hijau, bijirin, kekacang, roti dan pasta.
3. Vitamin B12 : vitamin ini tedapat dengan banyaknya didalam daging dan susu.
4. Vitamin C : Makanan yang mengandungi vitamin C adalah buah-buahan seperti buah oren, tembikai dan lain-lain. Vitamin C ini menolong penyerapan zat besi.
Click here to claim your Sponsored Listing.
Category
Culinary Team
Attire
Telephone
Website
Address
Wangsa Maju
52000
